Innalillah..........
Jumaat 17hb September 2010 seniman M.Rajoli menghembuskan nafas akhir pada kira-kira jam 10:40 malam di katil 17, wad 6B, tingkat 6, Hospital Ampang, Kuala Lumpur. Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Datuk Keramat selepas waktu zohor keesokan harinya.
Sekitar 3 tahun yang lepas seniman veteran ini diserang penyakit ketumbuhan kelenjar dalam otak. Nas dan krew TV3 berkesempatan mengunjungi beliau di hospital. Keadaan beliau ketika itu nyata lemah kerana baru sahaja menjalani rawatan kimo. Hasil tinjauan ini telah kami siarkan di Melodi siaran TV3 menerusi segmen 'Terjah!'. Dari paparan itu penonton TV3 dapat maklumat sebenar dan terkini mengenai keadaan kesihatan pelakon ini ketika itu.
Selang tiga minggu kemudiannya Nas turut berkunjung pula ke sebuah pusat fisio di mana beliau ditempatkan untuk rawatan susulan pula. Dari paparan yang disiarkan di Melodi ini juga kelihatan beliau masih dalam keadaan lemah. Dengan bantuan dari isteri pertamanya Kak Mah dan isteri kedua Hajjah Wan Chik Daud seniman ini dibantu untuk melakukan senaman harian serta cuba untuk berdiri dan berjalan sendiri. Di peringkat ini tutur katanya perlahan tapi boleh difahami jika diteliti. Bagaimanapun terdapat petanda 'kesegaran' dalam nada tuturnya yang menunjukkan potensi akan sembuh suatu hari nanti.
Ambang sambutan Aidilfitri tahun 2008, Nas ditugaskan menerbit dan mengarahkan program khas Hari Raya di TV3 berjudul 'Setahun Sekali Lagi' (sambungan dari program 'Setahun Sekali' yang pernah disiarkan pada hari raya tahun sebelumnya). Peluang ini Nas gunakan untuk terus memaparkan keadaan terkini M.Rajoli dengan cara menyelitkan satu segmen artis-artis mengunjungi beliau di rumahnya di Hari Raya dalam program itu. Antara artis yang meluangkan masa menjayakan rakaman ini ialah Rosyam Nor, Azean Irdawaty sekeluarga dan Baharuddin Hj Omar (Anjang Aki).
'Setahun Sekali Lagi' disiarkan selama satu jam pada Hari Raya ke 5 tahun tersebut dan diulangtayang dalam versi 30 minit pula pada tarikh 22hb September 2009, keduanya di TV3.
Sekitar April tahun ini (2010) sekali lagi Nas berpeluang meluangkan masa membuat liputan mengenai keadaan terkini M.Rajoli tapi kali ini untuk siaran Galaksi TV9 pula. Beliau masih terlantar lemah di katil rumah yang didiami bersama isteri pertamanya Kak Mah. Kunjungan sekumpulan petugas sukarela dari sebuah hospital swasta untuk melakukan fisio terhadap M.Rajoli pada dasarnya dapat menceriakan suasana dirumah itu. Bagaimanapun pada hakikatnya pada pengamatan Nas keadaan beliau masih lemah dan ingatannya kian pudar. Dalam interbiu yang Nas lakukan padanya ternyata tuturnya kian perlahan serta sukar difahami jika tidak diteliti. Beliau juga sukar untuk mengenali dan mengingati nama rakan-rakan artis yang Nas tanyakan.
Sama sekali Nas tidak menyangka inilah kali terakhir Nas dapat berhadapan dan menemubual aktor berkaliber ini. Beliau kini telah pergi buat selamanya.
Mohon sedekahkan Al-fatihah untuk Allahyarham M.Rajoli. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan kekasih ALLAH. Amin.
3 comments:
Innalillah..
semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang beriman dan dirahmati Allah... amin..
Al-Fatihah
Al-Fatihah buat arwah M. Rajoli yang sangat Ustaz Love minati.. Semoga beliau ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.. aminn
Salam takziah buat keluarga M.Rajoli.Al-fatihah buat arwah M.Rajoli.Semoga rohnye ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.amin..
Post a Comment