Penaja :

Friday 23 April 2010

RENCANA

Begitulah cara Terjah!

(Petikan Berita Harian 2 April 2010)


“SEGELINTIR orang cuma nampak Terjah sebagai sebuah rancangan TV yang menyiarkan gosip atau keburukan artis saja. Mereka silap sebenarnya. Menerusi Terjah juga kami membantu golongan artis yang ditimpa kesusahan atau terlantar sakit.”


Begitulah reaksi penerbit rancangan terbitan TV3 itu, Nas Ahmad ketika mengulas mengenai pendapat sesetengah pihak yang kurang setuju dengan pendekatan program berbentuk infotainmen 13 episod yang sudah melabuhkan tirainya pada 29 Mac lalu.Ekoran itu sudah ada suara yang meminta supaya program itu dihentikan saja siarannya rancangan yang didakwa mengaibkan golongan artis, menjatuhkan industri hiburan tempatan, terlalu provokatif sehingga melanggar etika kewartawanan dan berbentuk fitnah.
"Pada luarannya memang rancangan ini agresif, namun jika dikaji terperinci apa yang tersirat di sebalik yang tersiar, ia penting dalam menjana persada hiburan tempatan". - Nas Ahmad


“Pada luarannya memang rancangan ini agresif, namun jika dikaji terperinci apa yang tersirat di sebalik yang tersiar, ia penting dalam menjana persada hiburan tempatan. Ia sengaja dipaparkan dalam bentuk agresif kerana berhadapan dengan situasi di era masa kini yang sememangnya agresif, terutama sejak wujudnya sumber maklumat baru iaitu internet.


“Semua tahu menerusi internet terdapat begitu banyak laman web atau blog yang menyiarkan berita mengenai artis. Bukan semua, tapi ada beberapa yang secara terang-terangan menyiarkan berita yang sama ada tidak atau belum sahih. Mereka tidak berusaha mendapatkan komen artis terbabit mengenai sesuatu isu itu. Apa yang mereka pentingkan ialah perasaan bangga menjadi laman web atau blog pertama yang menyiarkannya di internet.


“Di laman web atau blog berkenaan juga terdapat banyak berita fitnah, malah yang sengaja memburukkan artis yang tidak mereka minati. Lebih buruk lagi, mereka menggunakan bahasa kesat, termasuk maki hamun dan celupar. Semua ini menjadi tatapan umum. Inilah yang sebenarnya melanggar etika kewartawanan serta nilai kesopanan.
“Walau agresif dan provokatif, namun Terjah tetap mengamalkan penggunaan bahasa yang elok dan berkias. Tidak pernah ada bahasa kesat dan maki hamun dalam Terjah, kecuali ayat tegas. Setiap isu yang timbul, wartawan Terjah akan berusaha mencari artis terbabit untuk memberi peluang mereka membela diri atau memberikan komen sebelum isu itu kami paparkan. Kami tidak menyiarkan berita fitnah. Mengapa pula paparan sebaik Terjah itu mahu minta dihalang penyiarannya sedangkan paparan di internet yang lebih dahsyat tidak dipertikaikan?


Menurut Nas lagi, sehingga setakat ini Terjah mencatat rating lebih 1.2 juta penonton dan ini adalah suatu pencapaian membanggakan kerana bukan mudah untuk rancangan TV yang disiarkan pada jam 11 malam di hari biasa untuk mencapai rating setinggi itu.


Nas berpendapat sekiranya Terjah dihentikan, artis yang diaibkan atau teraniaya di internet tiada ruang dan peluang lagi untuk membela diri atau menjelaskan keadaan sebenar di pihak mereka di TV.


“Selama hari ini pun ramai artis yang mengadu kepada wartawan Terjah dan minta kerjasama untuk menyiarkan perkara sebenar di pihak mereka. Kami sentiasa sedia membantu walaupun risikonya apabila kami memaparkan isu itu, ada pula sebilangan pihak lain yang anggap kami mengaibkan artis itu pula kerana menyentuh atau bertanyakan isu itu. Kenapa sekadar bertanya artis itu saja sudah dianggap mengaibkan?” katanya dalam satu kenyataan.


Menjawab lanjut mengenai tanggapan segelintir pihak bahawa Terjah mengaibkan artis, Nas menjelaskan “Tugas semua wartawan termasuk wartawan Terjah cuma melaporkan berita. Artis bercinta, artis berkahwin, kekal bahagia atau bercerai, semuanya adalah berita bagi kami dan kami siarkan kerana mereka adalah public figure. Selalu kami dikatakan ‘mengaibkan’ artis apabila siarkan berita mereka bercerai sedangkan bukan kami yang suruh mereka bercerai!


“Pernah juga berlaku pasangan artis bertengkar, kami siarkan, lalu kami dianggap mengaibkan artis itu. Kenapa mereka bertengkar di tempat awam? Kenapa tak bertengkar di rumah atau di tempat tertutup? Sebagai wartawan, bila perkara itu berlaku di depan mata kami, takkan kami cuma tengok saja. Kalau begitu lebih baik tak payah jadi wartawan. Kami kena siarkan. Sebenarnya artis itu sendiri yang melakukan perkara yang boleh mengaibkan diri mereka sendiri, bukan salah wartawan yang melaporkannya,” katanya.


Mengenai dakwaan Terjah menjatuhkan atau langsung tidak membina persada seni tempatan kerana menyiarkan berita sensasi dan kontroversi artis, penerbit yang mula terkenal melalui program Melodi itu berkata, “Zaman sudah berubah. Dulu kalau artis nak promosi produk mereka sama ada album atau filem memadai secara mengumumkan saja di mana-mana rancangan hiburan TV yang bersesuaian. Tetapi penonton masa kini sudah bosan dengan cara itu sebab itu Terjah mencari sudut sensasi atau kontroversi yang secara tidak langsung mempromosikan produk itu.”


Menurut Nas lagi, artis juga sudah mula faham bahawa berita sensasi dan kontroversi mengenai mereka adalah penting bagi menjana karier mereka sendiri.


Kalau hendak mengharapkan berita mengenai produk atau karier mereka saja yang tersiar, lazimnya dalam setahun artis itu cuma menghasilkan satu album, maknanya dalam setahun cuma sekali saja berita mereka tersiar di mana-mana media masa.


“Artis yang popular ialah yang bukan saja hebat dari bakat semula jadinya, tapi yang berita mereka termasuk berita sensasi selalu tersiar di media massa. Ini membuatkan nama mereka sentiasa menjadi sebutan umum. Inilah apa yang Terjah usahakan untuk mereka. Tidakkah ini membantu menjana karier mereka dan persada hiburan tempatan? Kami melakukannya cara kami,” katanya.

3 comments:

maslina said...

saya suka terjah!!!!

suzzsuzie said...

pandanglah dari sudut positif.....kalau semua negatif memang tak kan ada pembaharuan la industri seni kt negara kita ni...

NAS AHMAD said...

maslina : saya pun suka!. he he
suzzsuzie : yes suzie. akan jadi hambar....dan org kita akan lebih suka tengok program hiburan luar.