Penaja :

Friday 16 March 2012

GALAKSI makin panas! (Petikan dari gua.com.my)

‘Ini bukan program sepi, ini Galaksi, penuh sensasi!’ - begitu slogan program infotaimen popular TV9 iaitu Galaksi. Bertepatan dengan maksud slogan itu, Galaksi membuktikan kini tampil dengan paparan yang sentiasa tidak lekang dari berita panas, sensasi, dan kontroversi berkaitan persada seni serta disulami dengan paparan lain yang menarik.

Ternyata pendekatan baru Galaksi ini bukan sia-sia. Kajian membuktikan kadar penonton Galaksi meningkat lebih 50% sejak mula diperkenalkan baru-baru ini. Program mingguan yang bersiaran langsung tiap Jumaat jam 8:30 malam ini kini tercatat sebagai antara program paling top di TV9!.

Peneraju utama dalam menghasilkan Galaksi versi terkini  ialah tidak lain dari penerbit yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan hiburan media cetak & media elektronik iaitu Nas Ahmad. Menurut Nas "sebelum saya menyertai Galaksi, program ini memang sudah sedia dikenali sebagai sebuah program sensasi. Bila saya ditugaskan mengambilalih penerbitan Galaksi sejak lebih setahun yang lepas saya padatkan lagi pengisian dan kreativitinya mengikut cara saya".

"Memang paparan berita sensasi artis menjadi tumpuan utama, tapi kekuatan Galaksi sebenarnya bukan cuma itu. Saya cipta beberapa 'side kick' ke dalam Galaksi. Contohnya saya ujudkan segmen gosip Rock Kiah Propa. Wartawan Galaksi Siti Rohkhaida melakonkan watak sebagai Kak Rock iaitu seorang bekas ratu kebaya yang sentiasa mengomel dan bergosip di sana sini dalam loghat Perak nya. Ternyata dia berjaya melakonkan watak ini dengan berkesan sehingga segmen ini kini punyai ramai peminat setia. Kerana sambutan luar biasa ini Kak Rock kini saya tampilkan live pula sebagai pengacara bersama berpasangan dengan pengacara utama iaitu Ikhwan".

Menjawab soalan apa perbezaan antara peranan pengacara Galaksi berbanding pengacara program  seangkatannya iaitu Melodi di TV3, penerbit yang juga wartawan ini menjelaskan "Peranan host Melodi ialah berlawak sambil menghubungkan dari satu paparan ke satu paparan lain yang disiarkan. Host Galaksi pula bukan pelawak dan memang saya tak mestikan berlawak. Peranan utamanya ialah turut sama menyampaikan berita. Ini menjadikan Galaksi cukup padat dengan paparan berita, samaada berita yang disampaikan oleh barisan wartawan Galaksi ataupun menerusi host nya sendiri. Kesannya, Galaksi sentiasa sarat dengan berita hiburan dari saat pertama siarannya bermula hinggalah tamat siarannya 1 jam kemudian. Galaksi tak punya masa terluang untuk hentikan sensasi!. Ini yang saya maksudkan ia bukan program sepi, ia berada di zon sensasi".

Menjelaskan lebih lanjut mengenai side kick atau tarikan tambahan Galaksi, menurut Nas "Dari satu paparan berita ke paparan lain kami selitkan dengan klip video lagu yang liriknya ada kaitan dengan paparan berita yang baru disiarkan. Contohnya kalau berita mengenai artis putus cinta, kami akan selitkan dengan klip video lagu berkaitan patah hati di penghujungnya. Dari maklumbalas penonton yang saya terima, ramai yang tertarik dengan cara ini, malah ada yang sentiasa tertanya-tanya kami lagu apa pula yang bakal kami guna minggu depan nanti.

Begitu juga dengan klip video di penghujung rancangan. Pilihan utama saya bukan klip video artis tapi klip video orang kebanyakan, asalkan menarik. Contohnya rakaman video Mat Saleh nyanyi lagu Melayu, rakaman video amator orang kebanyakan melakonkan semula aksi artis pujaan mereka, rakaman gelagat lucu, dan seumpamanya. Ini membuatkan penonton kekal setia depan TV hingga habis siaran termasuk ketika siaran kredit penutup Galaksi. Penonton juga boleh mengirim klip video rakaman mereka untuk kami siarkan di Galaksi".

Populariti Nas Ahmad sendiri dalam bidang kewartawanan hiburan dan di persada seni tanahair begitu menyerlah dan disegani. Sehingga saat ini ramai wartawan hiburan TV lahir dari legasi Nas Ahmad, antaranya barisan semua wartawan Melodi dan semua wartawan Galaksi. Dia juga sering memenuhi undangan mengadakan ceramah kewartawanan dan motivasi di pusat-pusat pengajian tinggi dan di acara tertentu. Kekuatan popularitinya makin menyerlah menerusi segmen popular ciptaannya iaitu Terjah.

Suatu ketika dulu ramai tertanya mengapa program Terjah berhenti bersiaran sedangkan program itu mendapat sambutan hebat. Nas menjelaskan "Memang program itu pernah direhatkan sementara suatu ketika dulu. Atas permintaan ramai, Terjah kini turut saya hidupkan kembali dan serapkan ke dalam Galaksi. Ini satu lagi punca mengapa rating Galaksi kian meningkat. Bermula dari hanya salah satu segmen dalam Melodi, Terjah muncul pula sebagai satu program TV khas. Seterusnya saya hasilkan pelbagai produk lain di bawah jenama Terjah, seperti menulis buku semi biografi berupa catatan pengalaman dan pandangan saya dalam bidang kewartawanan, menghasilkan album Terjah, dan menghasilkan barangan cenderahati jenama Skuad  Terjah. Tak mungkin saya akan hentikan satu jenama yang sudah cukup kuat, popular, dan diminati ramai hingga kini menjadi suatu fenomena!.
Di laman sosial youtube dan facebook saya dapati ramai yang merakamkan sendiri aksi mereka melakonkan watak saya menerjah. Ada yang menerjah rakan sepejabat, ada penuntut yang menerjah gelagat rakan mereka di asrama, macam-macam lagi. Ini membuktikan Terjah telah mencapai tahap suatu fenomena. Saya gelihati menonton gelagat mereka meniru identiti saya yang sentiasa pakai topi, vest, malah ada yang sanggup pakai rambut keriting palsu!".

Kebelakangan ini terdengar banyak komen penonton mengatakan Galaksi kini lebih hebat dari Melodi. Bagaimanapun Nas kelihatan resah terhadap komen ini. Menurut Nas "Saya akan kecewa jika ini terjadi. Walau dah 2 tahun saya tinggalkan Melodi tapi saya sentiasa berharap ia kekal popular.  Malah saya ingin lihat banyak lagi program TV dalam genre yang sama diterbitkan. Contohnya di negara jiran kita Indonesia ada lebih 20 program infotaimen seumpama ini dan semuanya bertahan lama serta punyai peminat tersendiri. Hasilnya,  ramai artis mereka meningkat popular. Kita di sini baru ada 2 sahaja (Melodi dan Galaksi). Dua sahaja sebenarnya belum cukup untuk menampung kebanjiran artis lama dan baru dan kepesatan persada seni kita.

Artis perlukan peluang untuk muncul dan dipopularkan menerusi program TV seperti ini. Kita patut beri mereka peluang untuk muncul supaya dengan paparan berita aktiviti mereka secara tidak langsung menjana persada seni kita. Suntikan elemen sensasi bagi saya sebenarnya adalah reverse psychology yang  membantu mempopularkan artis. Bad publicity is a good publicity. Artis era masakini akan tewas kalau mereka cuma tahu menyanyi atau berlakon sahaja. Mereka perlu juga bijak menggunakan, mendepani dan menangani elemen sensasi dalam karier mereka. Kerana itu juga Galaksi akan terus sensasi!".

Klik di sini utk link ke gua.com.my :
 http://www.gua.com.my/hiburan/berita-hangat/Galaksi_Makin_Panas.html






No comments: