Penaja :

Friday, 12 November 2010

HAJAT (ARWAH) SHAMRIN (FOTOGRAF) TAK KESAMPAIAN

Al-fatihah.
Shamrin - vokalis kumpulan fotograf atau nama penuhnya Mohd Shamrin Abdul Samad, 45 telah meninggal dunia petang tadi (Khamis 11/11/10). Terdahulu beliau diberitakan bermain futsal / bolasepak di padang kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira jam 6 petang. Turut bersama beliau ialah Joey (vokalis kumpulan BPR) dan beberapa rakan artis yang lain.

Shamrin diberitakan telah rebah tiba-tiba ketika permainan sedang berlangsung. Dalam keadaan itu beliau sempat mengadu mengalami kekejangan, lalu dia dibawa ke hospital berhampiran iaitu Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru. Sumber melaporkan keadaan tubuh beliau ketika itu kelihatan kebiruan lalu meninggal dunia di hospital tersebut.

Kumpulan Fotograf pernah berada di puncak populariti dengan lagu Di Alam Fana Cinta yang menyandang Juara Lagu Pop Terbaik di pertandingan Juara Lagu siaran TV3 pada tahun 1992. Kejayaan lagu yang menyerlahkan keunggulan dan kehebatan vokal Shamrin itu dirintis pula dengan kehadiran beberapa lagu popular dari Fotograf selanjutnya, antaranya Luka Seribu Rindu, Ke Pintu kasih Mu, dan banyak lagi.

Persembahan Shamrin dan Fotograf di Konsert Hot FM Big Jam, Penang

Nas juga terkejut menerima berita itu petang tadi ketika baru saja balik ke pejabat dari membuat liputan sidang akhbar teater 'Siti di Alam fantasi' di Istana budaya. Sejurus mendapat berita itu lantas Nas hubungi Zul (wartawan Galaksi) minta dia segera ke hospital berkenaan untuk liputan. Turut bersama Zul ialah Izza (wartawan Melodi).


Pemergian Shamrin begitu mengejutkan kerana baru saja beberapa minggu lepas dia datang ke ofis kami (jabatan hiburan Primeworks Studios) untuk perbincangan mengenai program Mentor. Menurut penerbit Mentor - Sufian Isa nama Shamrin memang pernah tercatit di peringkat awalnya dalam senarai bakal mentor untuk musim ke 5 yang akan berlangsung tak lama lagi. 

Nas teringat bulan Mac lalu ketika Nas masih bertugas sebagai Penerbit dan Wartawan program 'Terjah!', Nas pernah terjah kumpulan Fotograf yang turut beraksi di Konsert Hot FM Big Jam di Pulau Pinang, Dalam terjahan tu Nas sempat interbiu kumpulan ni di belakang pentas.


Dalam interbiu itu Shamrin telah melahirkan hasratnya untuk menggabungkan semula kumpulan Fotograf dan rakam album terbaru. Dia dan anggota kumpulan itu kini cuma menanti pemain drum mereka Ringgo dibebaskan dari penjara di Venezuela atas tuduhan cuba membawa masuk dadah ke negara itu.

Dalam nada suara gembira bagaikan tidak sabar menanti saat-saat pembebasan itu Shamrin menjelaskan bukan sahaja beberapa lagu sudah disediakan, malah ada antara lirik yang dia minta Ringgo tulis sendiri di penjara sementara menanti hari pembebasannya.


Memang Nas tak sangka itulah kali terakhir dalam hidup Nas interbiu Shamrin, bertemu dia di depan mata (selepas beberapa tahun dia tak muncul sebab Fotograf tidak aktif lagi) dan....... ternyata hajatnya untuk rakam album baru Fotograf tidak kesampaian.

Sama-sama kita sedekahkan al-fatihah untuk arwah Shamrin. moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan ALLAH dalam golongan orang-orang beriman.

Amin!


2 comments:

paw/paw said...

AL-FATIHAH

Ustaz Love said...

Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'uun